BeritaKolumnisMenarik

Patuh kepada perlembagaan, cakna suara rakyat

Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Kelima Belas pada 26 Februari 2024 telah disempurnakan dengan penuh istiadat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Selaku ahli Dewan Rakyat, saya minat untuk memetik titah penzahiran baginda yang berbunyi: “Saya menyeru kepada semua pihak sama ada yang duduk di sebelah kanan Saya atau yang di sebelah kiri Saya, marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia…”

Bait-bait titah baginda Tuanku ini menggambarkan betapa baginda amat mengharapkan kehidupan rakyat jelata sentiasa di perjuangkan dengan sepenuh keringat, khususnya oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih melalui amalan demokrasi berparlimen.

Saya juga menjunjung tinggi cadangan baginda Tuanku untuk merangka satu dasar dan strategi ke arah perpaduan rakyat yang lebih harmoni. Dengan mengambil contoh masih ada pihak yang belum arif dalam menutur Bahasa Kebangsaan dan tidak memahami budaya hidup bangsa lain, ternyata Tuanku memiliki misi dan visi yang luas serta jauh dalam mempertahankan perpaduan berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Yang Di-Pertuan Agong tidak mahu mana-mana ahli dewan mahupun rakyat memainkan isu sensitif melibatkan Raja, kaum dan agama. Inilah yang juga sering diperjuangkan oleh Kerajaan Madani ketika ini.

Asasnya, titah penzahiran Tuanku pada hari ini lebih berfokus kepada mengangkat tinggi kedudukan dan fungsi Perlembagaan Persekutuan dengan disulami pengamalan nilai-nilai pada Rukun Negara.

Baginda juga tidak mahu kestabilan politik di negara ini diganggu gugat oleh mana-mana pihak yang mungkin mahu melihat kerajaan semasa digulingkan.

Selaku ahli dewan, saya akan berjanji untuk menjunjung tinggi titah baginda Tuanku agar dapat menjaga adab dan tatatertib ketika berada di dalam dewan, serta memberi partisipasi yang baik untuk pembentukan dasar yang bermanfaat kepada rakyat.

Ampun Tuanku

Datuk Seri Jalaluddin Alias
Ahli Parlimen Jelebu

 

Kredit Foto: Facebook Jalaluddin Alias dan Anwar Ibrahim

Show More

Related Articles

Back to top button