Berita

PD surfcasting challenge tarik hampir 550 peserta di Pantai Sungai Sekawang

LINGGI: Pantai Kampung Sungai Sekawang, menjadi tumpuan ratusan pemancing apabila hampir 550 peserta menyertai Pertandingan Memancing PD Surfcasting Challenge yang berlangsung meriah.

Pertandingan yang bermula seawal jam 11 pagi dan berakhir pada jam 3 petang itu menyaksikan peserta mula membanjiri lokasi sejak awal pagi, mengambil peluang memancing di kawasan pantai yang sememangnya terkenal sebagai lubuk ikan, termasuk perairan sekitar Pulau Asam di hadapan kampung berkenaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Dato’ Mohd Faizal Ramli, penganjuran pertandingan itu bukan sahaja berjaya menarik minat pemancing dari pelbagai lokasi, malah memberi impak positif kepada komuniti setempat.

“Pantai Kampung Sungai Sekawang memang sentiasa menjadi tumpuan pemancing.

“Penganjuran pertandingan seperti ini secara tidak langsung membantu mempromosikan lokasi pelancongan di Pasir Panjang serta merancakkan ekonomi penduduk kampung.

“Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Nadi Media Events dengan kerjasama Tourism Malaysia, Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Linggi serta sokongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Sekawang.

“Dalam pertandingan itu, ikan gerut seberat 1.2 kilogram muncul sebagai tangkapan pemenang, sekali gus menceriakan suasana apabila sorakan peserta dan penonton mengiringi pengumuman keputusan,” kata Mohd Faizal.

Faizal turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan serta mengucapkan tahniah kepada para pemenang.

Beliau berkata, penganjuran PD Surfcasting Challenge berpotensi untuk dijadikan acara tahunan, khususnya sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

“Insya-Allah, acara ini akan dijadikan program tahunan kerana bukan sahaja menggalakkan aktiviti rekreasi sihat, malah memberi manfaat ekonomi kepada penduduk kampung,” ujar beliau lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button