Pejabat Parlimen PD nafi bantuan persekolahan, orang ramai diingatkan waspada

PORT DICKSON: Pejabat Parlimen Port Dickson menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berhubung pemberian bantuan persekolahan yang kononnya disalurkan oleh pejabat berkenaan, seperti yang tular di media sosial dan beberapa platform lain baru-baru ini.
Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson, maklumat yang disebarkan itu adalah tidak benar dan bersifat palsu, selain berpotensi mengelirukan orang ramai serta mencemarkan kredibiliti dan imej pejabat berkenaan.
Sehubungan itu, pejabat berkenaan menegaskan bahawa semua pengumuman rasmi berkaitan sebarang bentuk bantuan hanya akan dibuat melalui saluran rasmi Ahli Parlimen Port Dickson dan Pejabat Parlimen Port Dickson sahaja.
Dalam kenyataan sama, orang awam turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya atau berkongsi maklumat yang tidak disahkan kesahihannya.
Pejabat Parlimen Port Dickson turut mengingatkan orang ramai agar tidak menjadi mangsa penipuan dan disaran untuk merujuk terus kepada pejabat berkenaan bagi mendapatkan pengesahan sebelum mengambil sebarang tindakan.


