BeritaMenarik

Pelaburan baharu Google akan cetus perkembangan ekonomi digital negara

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan baharu Google di Malaysia berjumlah AS$2 bilion yang diumum akan mencetus perkembangan ekonomi digital di negara ini serta melahirkan modal insan berkemahiran dalam kalangan anak-anak watan.

“Malaysia telah melalui beberapa siri transformasi industri — daripada negara yang kebanyakannya bergantung kepada komoditi dan hasil tuaian, kepada industri pembuatan dan perkhidmatan.

“Saat ini kita memiliki peluang terbaik untuk memangkin transformasi digital yang akan membolehkan kita meningkatkan daya saing negara, menambah baik ketelusan serta tatakelola, dan membantu usaha mengurangkan pelepasan karbon — selari dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI.

“Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Google yang memberikan dorongan, bantuan, pelaburan serta nasihat kepada kita untuk mara ke hadapan di persada global industri digital terutamanya dalam bidang pengkomputeran awan, AI serta pembangunan infrastruktur pusat data.

“Alhamdulillah, berkat ikhtiar dan penat lelah Kerajaan MADANI menggerakkan reformasi ekonomi, Malaysia telah diberikan perhatian sebagai satu gelanggang pelaburan bermakna untuk mengangkat kita dalam dunia digital,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat bersama delegasi.

Anwar dan Porat seterusnya menghadiri Majlis Mantap Malaysia Bersama AI anjuran syarikat gergasi teknologi tersebut.

“Majlis ini membuka tirai kepada pengutuhan kerjasama antara Malaysia dan Google bagi mengorak langkah ke arah memperkukuh penguasaan ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) di negara ini,” ujar Anwar.

 

Show More

Related Articles

Back to top button