Pelaburan RM3.08 Juta Jadikan Pesta Bola Ngoca Identiti Negeri Sembilan

KUALA PILAH: Pesta Bola Ngoca 2025 membuka tirai dengan pelbagai pengisian sukan rakyat dan aktiviti komuniti di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun yang turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai dari seluruh Negeri Sembilan dan negeri-negeri berdekatan.
Menurut beliau, tahun ini tampil lebih meriah dengan penambahan dua acara baharu iaitu imbang balak dan titi ayun melengkapkan rangkaian aktiviti tradisi seperti ngocah ikan, kerja itik, berbasikal, baling bola serta memanah.
Penganjuran turut disokong dengan jualan rahmah dan jualan madani bagi memberi pilihan lebih luas kepada pengunjung.
Mengulas perkembangan pesta ini sejak kali pertama dianjurkan pada 2019 katanya kerajaan negeri telah melaburkan kira-kira RM3.08 juta sejak penganjuran awal dan jumlah itu menurutnya membawa impak besar terhadap pemerkasaan sukan rakyat serta ekonomi setempat.
“Program sebegini memberi kelebihan kepada masyarakat setempat terutamanya dalam industri perniagaan kecil, homestay, hotel serta perniagaan lain. Ia meningkatkan kehadiran pelancong dan perbelanjaan mereka di Kuala Pilah,” jelasnya.
Untuk pesta tahun ini, kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung dengan jangkaan angka itu boleh meningkat berdasarkan sambutan luar biasa setiap tahun.
Selain sukan rakyat, Pesta Bola Ngoca 2025 turut diserikan dengan Neon Fun Run yang berlangsung pada malam ini.
Dan esok pula akan diisi dengan program keagamaan merangkumi solat berjemaah, solat subuh seperti Jumaat serta kuliah subuh bagi memberikan kelainan dan keseimbangan antara aktiviti sukan serta kerohanian.
Pesta Bola Ngoca 2025 berlangsung dari 29 hingga 30 November di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah.



