PELAN PENGURUSAN KEWANGAN MADANI: Tuanku Muhriz ucap tahniah

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengucapkan tahniah di atas peluncuran Pelan Pengurusan Kewangan MADANI yang telah dirangka oleh Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Sembilan pada tahun 2024 yang menggariskan enam Nilai Teras di bawah prinsip Al-Qawiyy Al-Amin dan Al-Hafizul Al-Alim iaitu kuat (sihat), integriti dan amanah, berilmu, kompeten dan bijaksana.
“Pelan ini juga menggariskan tiga Key Result Area (KRA) iaitu Pengumpulan dan Penjanaan Kekayaan, Perlindungan dan Pengagihan Kekayaan serta Pemantauan Kekayaan dan akan dilaksanakan melalui 49 inisiatif yang telah digariskan.
Kejayaan pelaksanaan pelan ini adalah bergantung kepada komitmen yang jitu dan sinergi yang mantap oleh semua kakitangan Kerajaan Negeri sekali gus berupaya mencapai cita-cita besar Negeri bagi memperolehi hasilnya sebanyak RM1 bilion pada tahun 2030,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian di Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-15.
Dalam pada itu Tuanku Muhriz bertitah, prestasi ekonomi negeri terus mencatatkan perkembangan yang memberangsangkan.
“Negeri Sembilan merekodkan pertumbuhan positif KDNK sebanyak 1.8 peratus pada tahun 2023 dengan nilai sebanyak RM51.9 bilion berbanding RM50.9 bilion pada tahun 2022 dengan dipacu oleh Sektor Perkhidmatan dan Sektor Pembuatan.
“Sumbangan KDNK bagi Perkhidmatan adalah sebanyak 52.9 peratus dan diikuti Sektor Pembuatan sebanyak 37.8 peratus.
“Sektor Pertanian menyumbang sebanyak 6.1 peratus manakala Sektor Pembinaan menyumbang sebanyak 2.6 peratus.
“Sektor Perlombongan dan Pengkuarian pula menyumbang sebanyak 0.4 peratus.
“Pertumbuhan ini dicapai dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar termasuk ketegangan geopolitik yang mempengaruhi pasaran global, kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan harga komoditi,” titah baginda.