Pelancaran DOCP KITARecycle di Taman Seremban Jaya, perluas akses kitar semula
SEREMBAN: SWM Environment Sdn Bhd terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar apabila melancarkan kemudahan Drop-Off Collection Point (DOCP) KITARecycle di Taman Seremban Jaya, di sini.
Majlis pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar.
Inisiatif DOCP KITARecycle diperkenalkan bagi memudahkan orang ramai mengakses fasiliti kitar semula secara lebih sistematik, teratur dan efisien.
Kemudahan ini dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha memperluas rangkaian KITARecycle di seluruh Negeri Sembilan dengan menyediakan lokasi strategik untuk komuniti menghantar bahan kitar semula seperti kertas, plastik, logam serta sisa elektronik.
Menurut J. Arul Kumar, program KITARecycle di Negeri Sembilan berjaya merekodkan kutipan sebanyak 863 tan berbanding 724.24 tan sepanjang tahun 2025 berbanding pada tahun sebelumnya sekali gus menunjukkan peningkatan yang signifikan hasil penglibatan aktif masyarakat.
“Daripada jumlah tersebut, kertas mencatatkan kutipan tertinggi diikuti plastik, logam dan sisa elektronik. Ini mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan amalan kitar semula,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran fasiliti Drive-Thru KITARecycle SWM Environment ke-100 di sini.
Sementara itu, pihak SWM Environment memaklumkan bahawa pelaksanaan DOCP bukan sahaja menambah baik kemudahan sedia ada, malah berperanan sebagai pemangkin kepada perubahan tingkah laku masyarakat ke arah amalan pengasingan sisa di punca secara konsisten.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlizam Mohd Nordin, berkata pendekatan berkonsepkan pandu lalu itu memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mengitar semula tanpa kekangan masa dan lokasi.
“Kami komited untuk terus memperluas akses kepada kemudahan kitar semula di samping memperkasa kesedaran awam melalui pelbagai inisiatif lestari yang dirancang secara berterusan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pengguna boleh menikmati ganjaran melalui sistem Mata Ganjaran Kitar Semula (RP) yang boleh ditebus kepada wang tunai sekali gus memberi nilai tambah kepada penyertaan komuniti dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.
Setakat ini, SWM Environment telah membangunkan pelbagai fasiliti KITARecycle di seluruh negeri termasuk pusat pandu lalu, DOCP, sangkar kitar semula serta DTRC Sejati MADANI bagi memastikan akses yang lebih menyeluruh kepada orang ramai.
Dalam masa yang sama, syarikat itu turut menggalakkan pendekatan berasaskan komuniti menerusi program “Infaq Melalui Kitar Semula” dengan kerjasama institusi masjid, yang bertujuan menyumbang kepada dana kebajikan setempat.
Orang ramai diseru untuk terus menyokong inisiatif KITARecycle dengan mengamalkan pengasingan sisa di punca serta memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang telah disediakan demi kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.



