Pelanjutan MySTEP bukti keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap golongan rentan

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan meneruskan pelaksanaan Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) pada tahun 2026 dilihat sebagai langkah wajar dalam membuka lebih banyak peluang pekerjaan jangka pendek kepada graduan termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.
Pakar pekerjaan golongan OKU, Dr Wan Arnidawati Wan Abdullah berkata, inisiatif MySTEP memberi ruang penting kepada OKU untuk membina keyakinan diri, memperoleh kemahiran asas serta mewujudkan rekod pekerjaan awal yang amat diperlukan dalam pasaran kerja.
Menurut beliau yang juga Ketua Laboratori Gerontologi Sosial, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM), kebanyakan OKU sebenarnya berkeupayaan tetapi berdepan kekangan peluang untuk membuktikan kebolehan mereka.
“Bagi warga emas pula, MySTEP membuka ruang untuk menilai semula peranan mereka dalam sektor pekerjaan. Dengan penyesuaian tugasan dan waktu kerja, penyertaan ekonomi golongan ini dapat terus diperkasakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keberkesanan MySTEP tidak hanya bergantung kepada pengambilan peserta, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan termasuk bimbingan kerjaya serta kefahaman majikan terhadap keperluan khusus OKU dan warga emas.
Pandangan itu turut disokong peserta MySTEP yang menyifatkan pelanjutan program berkenaan sebagai peluang penting untuk membina pengalaman dan keyakinan bekerja dalam sektor awam.
Nordiana Mohd Samsul, 28, seorang OKU dari Kota Bharu, Kelantan berkata, penyertaan dalam MySTEP memberi harapan baharu kepada golongan sepertinya untuk kembali membina kerjaya selepas berdepan kecederaan kekal akibat kemalangan.
“Walaupun bersifat sementara, peluang ini sangat bermakna untuk saya membina pengalaman kerja dan keyakinan diri,” katanya.
Sementara itu, Abdul Mizan Yusuf, 30, yang kehilangan penglihatan pada sebelah mata akibat kemalangan di tempat kerja menyifatkan MySTEP sebagai bukti komitmen kerajaan MADANI dalam membina masyarakat yang lebih inklusif.
“Ini bukan sekadar peluang pekerjaan sementara, tetapi pengiktirafan terhadap kemampuan OKU untuk menyumbang,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi Mohd Danial Irfan Samuri, 21, yang menyifatkan MySTEP sebagai pendekatan holistik dalam menyediakan platform pengalaman kerja kepada generasi muda sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
Dalam perkembangan berkaitan, tinjauan di media sosial Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapati pelanjutan MySTEP menerima reaksi positif daripada warga maya yang menyambut baik keputusan kerajaan tersebut.
Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan MySTEP pada 2026 selaras dengan Garis Panduan Perolehan Perkhidmatan Personel MySTEP yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.



