YB Kita

Pembinaan bangunan tambahan SJKT Ladang St. Helier capai 90 Peratus, dijangka siap Mei ini

JERAM PADANG: Projek pembinaan bangunan tambahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang St. Helier kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila telah mencapai tahap 90 peratus siap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, kemajuan tersebut adalah berdasarkan laporan terkini yang diterima daripada pihak kontraktor yang dilantik.

Menurut beliau, projek berkenaan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang bulan Mei tahun ini, sekali gus memberi manfaat besar kepada warga sekolah, khususnya pelajar dan guru.

“Kerja-kerja menyiapkan bangunan tambahan di sekolah ini kini sedang rancak dilaksanakan.

“Berdasarkan laporan terkini yang diterima daripada pihak kontraktor yang dilantik, kemajuan projek di tapak telah mencapai 90 peratus siap,” katanya.

Tambah beliau, pemantauan rapi akan terus dilakukan bagi memastikan projek berjalan lancar dan menepati jadual yang ditetapkan.

“Saya menjangkakan bahawa keseluruhan kerja pembinaan ini akan dapat disiapkan sepenuhnya menjelang bulan Mei tahun ini, sekali gus memberi manfaat besar kepada keselesaan dan persekitaran pembelajaran anak-anak kita,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk memastikan projek tersebut disiapkan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan melalui pemantauan berterusan, termasuk laporan bergambar daripada kontraktor.

“Saya akan terus memantau perkembangan projek ini dari semasa ke semasa, termasuk melalui laporan bergambar yang dikemukakan oleh pihak kontraktor, bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap kemudahan baharu tersebut mampu meningkatkan lagi kualiti pendidikan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa kepada pelajar dan warga pendidik di SJKT Ladang St. Heliar.

“Semoga kemudahan baharu ini dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan serta memberi keselesaan kepada para pelajar dan warga pendidik di sekolah ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button