Berita

Penduduk Kampung Batu 8 bersatu jayakan Program Hari Komuniti My PLUS

LABU: Seramai kira-kira 100 orang peserta terdiri daripada Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN), sukarelawan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) serta sukarelawan pelajar UiTM, Seremban telah menyertai Program Hari Komuniti My PLUS 2025/2026 yang berlangsung di Balairaya JPKK Kampung Batu 8 sebagai usaha memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama dalam kalangan penduduk setempat.

Menurut Ahmad Faez Abd Razak, Pengurus Pusat Khidmat Rakyat DUN Labu, penganjuran program berteraskan komuniti seperti ini mampu meningkatkan penglibatan masyarakat serta menyemai semangat kebersamaan dalam pembangunan setempat.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh beliau selaku Penyelaras DUN Labu dan turut dihadiri Penghulu Mukim Labu, Mohd Riduan Sudin sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kemasyarakatan di kawasan DUN Labu.

Para peserta yang diketuai Profesor Madya Dr. Nooriani Ismail terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk kerja-kerja pengecatan dan pembersihan balairaya serta masjid selain aktiviti penanaman pokok bagi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan lestari.

“Program ini turut menerima sokongan PLUS Contribution melalui sumbangan serta pemasangan percuma tiga unit Solar Lantern sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat” katanya.

Penghargaan turut dizahirkan kepada Pengerusi JPKK Kampung Batu 8 selaku tuan rumah program.

Beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan bagi memperkukuh semangat kejiranan, meningkatkan penglibatan komuniti serta memupuk budaya kerjasama dalam kalangan penduduk kampung.

Show More

Related Articles

Back to top button