Penemuan sisa kimia dipercayai toksik di Kawasan Perindustrian Bukit Palong, Lukut

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JAS) dengan kerjasama agensi-agensi berkuasa telah mengambil tindakan segera selepas menerima maklumat mengenai aktiviti penanaman buangan sisa kimia yang dipercayai toksik di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Palong, Lukut.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam berkata, pada 7 Mac 2025, JAS telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh menggunakan teknologi drone bagi mendapatkan gambaran dari udara selain pemeriksaan fizikal permukaan tanah di lokasi kejadian.
Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tanda-tanda aktiviti tidak sah yang memerlukan siasatan lebih mendalam.
Pada 19 Mac 2025, kerja-kerja penggalian telah dilakukan dengan kerjasama rapat daripada Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan (JKRNS), disertai pemantauan keselamatan ketat oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA).
Proses persampelan telah dijalankan di enam titik strategik bagi memastikan ketepatan analisis.
“Sebanyak enam sampel buangan yang diambil telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis bagi mengenal pasti jenis dan tahap toksik bahan tersebut.
“Sebagai langkah penguatkuasaan, notis di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan kepada pemilik tanah terlibat.
“Pemilik tanah kini diwajibkan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kerja-kerja remedi dan pemulihan lokasi tersebut.
“Selain itu, JAS sedang mempertimbangkan tindakan perundangan yang lebih tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada bergantung kepada keputusan analisis terperinci yang akan diperolehi daripada JKM.
“Dalam masa yang sama, pemantauan berterusan ke atas premis dan kualiti alam sekitar di kawasan terjejas sedang dilaksanakan untuk memastikan tiada ancaman lanjut terhadap keselamatan awam dan alam sekitar,” kata Veerapan.
Veerapan menegaskan bahawa perlindungan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang demi menjaga kelestarian alam.
“Saya menyeru kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan pencemaran alam sekitar kepada pihak berkuasa,” ujarnya.