Berita

Perlombongan REE Jelebu jana hasil RM22.7 juta

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan dijangka meraih hasil royalti mencecah RM22.7 juta dalam tempoh enam tahun hasil kelulusan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Daerah Jelebu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sebanyak tiga permohonan perlombongan NR-REE telah diluluskan melibatkan kawasan di mukim Ulu Klawang dan mukim Ulu Triang, dengan setiap kelulusan diberikan bagi tempoh enam tahun.

“Kerajaan Negeri mengenakan kadar royalti sebanyak 15 peratus berdasarkan harga pasaran semasa, sekali gus menjadikan projek berkenaan sebagai antara penyumbang baharu kepada hasil negeri.

“Selain pulangan kewangan, projek itu turut dijangka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, dengan anggaran antara 50 hingga 100 peluang pekerjaan secara langsung pada peringkat awal, sebelum berkembang sehingga 345 peluang pekerjaan merangkumi sektor mahir, separa mahir, teknikal dan pengurusan,” kata Aminuddin.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan semalam bagi menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang dan Klawang berkaitan kelulusan, manfaat ekonomi serta impak alam sekitar aktiviti perlombongan REE.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap aspek kelestarian alam sekitar apabila mewajibkan semua pengusaha mematuhi sepenuhnya keperluan Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta Skim Operasi Melombong (OMS).

Katanya, pembangunan ekonomi yang dirancang perlu seiring dengan tadbir urus kewangan yang cekap dan perkhidmatan awam yang berintegriti bagi memastikan hasil negeri dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button