
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan bayaran one-off sebanyak RM1,000 kepada pesakit kanser mulai tahun 2026 bagi mengurangkan beban kewangan mereka.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan bagi tujuan itu di bawah Belanjawan Negeri Sembilan 2026.
“Ini merupakan kali pertama kita menyediakan bantuan ini memandangkan kes kanser semakin meningkat.
“Sesiapa yang lahir dan menetap di Negeri Sembilan yang disahkan menghidap kanser atau sedang menjalani rawatan layak menerima bantuan ini tanpa mengira status atau pendapatan.
“Langkah ini bertujuan memberi sokongan moral kepada pesakit serta mengingatkan mereka bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjuangan melawan penyakit tersebut.
“Ia juga sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban perbelanjaan rawatan perubatan atau kos perjalanan ketika berulang alik ke hospital,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan peruntukan tambahan pada masa depan sekiranya jumlah permohonan melebihi dana yang disediakan.
“Kerajaan negeri juga akan menyalurkan RM500,000 sebagai bantuan tunai untuk membantu pesakit membeli implant ortopedik, dan RM500,000 lagi bagi pesakit yang perlu menjalani prosedur fistula arteriovenous untuk rawatan hemodialisis,” jelas Aminuddin lagi.



