Pesta Parit Pachitan meriah

PORT DICKSON: Pesta Parit Pachitan yang berlangsung hujung semalam berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sekali gus menjadi medan memperkukuh perpaduan penduduk setempat menerusi penganjuran acara tradisi dan santai.
Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, program tersebut bukan sahaja menghidupkan suasana kampung, malah mengangkat nilai budaya dan semangat kebersamaan masyarakat Parit Pachitan.
“Antara acara yang mencuri tumpuan ialah pertandingan Mencari Raja Parit, selain aktiviti memancing ikan, jalan titi, gusti bantal, cabutan bertuah serta pelbagai acara santai yang melibatkan penyertaan aktif penduduk pelbagai peringkat umur.
“Dalam program sama, turut berlangsung Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Kampung Pachitan dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), sebagai satu inisiatif pembangunan komuniti berteraskan kesejahteraan dan keselamatan penduduk,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin, pelaksanaan Kampung Angkat MADANI diharap dapat membawa manfaat berterusan kepada penduduk Kampung Pachitan melalui pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh, inklusif dan berfokus kepada kemajuan bersama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan serta berharap semangat muafakat dan kebersamaan yang ditonjolkan dapat terus diperkukuh demi kemajuan kampung dan negeri.



