Berita

Pindah MyKiosk ke lokasi yang dapat sambutan peniaga kecil: AMINUDDIN

PBT dengar nasihat saya.. Jangan sampai esok saya kena turun

SEREMBAN: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan, digesa menjadi lebih kreatif dan mengambil inisiatif bagi menarik lebih ramai peniaga kecil berniaga di gerai MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, PBT perlu mencari kawasan alternatif yang lebih menarik dan strategik untuk berniaga, sekiranya lokasi asal MyKiosk tidak lagi mendapat sambutan.

“Itu tanggungjawab PBT. Kalau dah enam bulan tiada sambutan, kena fikir mana lokasi baharu yang lebih sesuai.

“Selepas beberapa bulan, kalau tempat baharu pun tiada sambutan, cari lokasi lain pula.

“Itu kerja dia. Janganlah PBT letak situ, dibiarkan beberapa bulan, lepas itu kata orang tak suka meniaga di situ,” ujar beliau.

Menurut Aminuddin lagi, keadaan ini menunjukkan PBT tersebut tidak mempunyai kreativiti untuk memastikan kemudahan MyKiosk dapat membantu peniaga kecil.

“Letak 10 MyKiosk di satu lokasi, lepas itu pandai-pandai awak lah.

“Laku tak laku bukan kerja saya.. itu tak boleh.

“Saya nak ingatkan PBT, apabila ada peruntukan (MyKiosk) sebegini, jangan biarkan. Nanti MyKiosk rosak, buang.. itu namanya pembaziran.

“PBT dengar nasihat saya.. Jangan sampai esok saya kena turun, Exco Kanan Dato’ Seri Jalaluddin kena turun, Setiausaha Kerajaan Negeri beri amaran.

“Saya tak nak sampai macam itu dan jangan beri alasan orang tak nak berniaga di MyKiosk,” tegas Aminuddin.

Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan MyKiosk senang dipindahkan ke mana sahaja mengikut kesesuaian.

Aminuddin berkata demikian semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.

Media sebelum ini melaporkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata, sebanyak 414 MyKiosk KPKT disediakan di seluruh negeri itu, sejak dua tahun lepas namun hanya 250 diisi.

Susulan itu PBT di negeri ini diberi tempoh sebulan untuk menempatkan peniaga di gerai tersebut, bagi memastikan ia tidak menjadi projek gajah putih.

Show More

Related Articles

Back to top button