Portal informasi MAINS pacu inisiatif digital, perkasa maklumat sahih

SEREMBAN: Pelancaran Portal Informasi Islam Negeri Sembilan bukan sahaja memacu inisiatif dalam mendepani cabaran digital, tetapi juga menghubungkan masyarakat dengan maklumat Islam yang sahih, tepat dan mudah diakses.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, portal itu bakal menjadi rujukan rasmi hal ehwal Islam Negeri Sembilan.
Menurutnya, dengan menyediakan akses dan menghubungkan masyarakat dengan semua agensi agama Islam, portal tersebut sekali gus berperanan sebagai wadah dakwah digital mesra pengguna khususnya kepada generasi muda.
“Langkah ini melambangkan usaha kerajaan negeri dan agensi agama Islam Negeri Sembilan dalam mengarusperdanakan teknologi digital bagi tujuan dakwah, pendidikan serta pengukuhan syiar Islam di Negeri Sembilan.
“Saya mohon agar seluruh masyarakat khususnya anak-anak muda, memanfaatkan portal ini sebagai rujukan utama.
“Carilah ilmu dari sumber yang benar, hayatilah ajaran Islam dengan kefahaman yang tepat dan jadilah agen penyebar kebaikan di mana sahaja kita berada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Gemersik Maulid bersempena Jelajah Mahabbah Madani IKIMfm dan Agensi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan 2025 di Masjid Al-Amin Bandar Warisan Puteri.
Dalam pada itu, menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato’ Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir, portal itu dibangunkan bagi memudahkan orang awam mengakses pelbagai perkhidmatan berkaitan hal ehwal Islam secara digital di bawah satu platform.
Selain itu, ulas beliau, ia juga mewujudkan ruang integrasi dan kolaborasi antara agensi-agensi Islam Negeri Sembilan bagi memperkukuh penyelarasan perkhidmatan.
Beliau berkata, masyarakat Islam di negeri itu perlu memanfaatkan sepenuhnya portal tersebut selain menjadikannya sumber rujukan utama agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih di ruang digital.
“Portal Informasi Islam Negeri Sembilan diwujudkan hasil cadangan Menteri Besar Negeri Sembilan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Agama.
“Portal ini berperanan sebagai platform one-stop centre yang menghimpunkan semua maklumat dan data berkaitan hal ehwal Islam di Negeri Sembilan.
“Usaha ini akan mempertingkat keberkesanan penyampaian maklumat melalui saluran rasmi yang pantas dan mudah dicapai, di samping menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam urusan agama, pentadbiran serta kemasyarakatan.
”Saya yakin portal ini akan memberi manfaat besar khususnya kepada semua lapisan masyarakat yang dekat dengan teknologi digital.
“Dengan adanya saluran rasmi ini, mereka dapat mendekati ajaran Islam melalui cara yang lebih mesra, cepat dan tepat,” katanya.