BeritaProgram

Prestasi STPM Negeri Sembilan atasi PNGK Kebangsaan

SEREMBAN: Setelah 10 tahun menanti, buat pertama kalinya, Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Negeri Sembilan bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 barjaya mencapai 2.86 sekaligus mengatasi PNGK Kebangsaan iaitu 2.85.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata pencapaian yang ditunggu-tunggu sejak 2014 itu akhirnya menjadi kenyataan apabila usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak kini membuahkan hasil.

“Buat pertama kalinya PNGK Negeri melepasi PNGK Kebangsaan, biarpun tidak banyak hanya 0.01 sahaja tetapi saya sangat menghargainya dan berterima kasih kepada semua pihak terutamanya institusi pendidikan, sekolah, ibu bapa dan pelajar di atas kerjasama mereka bagi memastikan kecemerlangan ini.

“Pelbagai bantuan dan peruntukkan telah pun kita susun untuk kecemerlangan pendidikan, malah menerusi Yayasan Negeri Sembilan pelbagai insentif kita sediakan untuk membantu pembangunan sosio pendidikan termasuk peruntukkan RM100,000 program tuisyen bagi pelajar STPM kerana bilangan mereka tidak ramai dan RM500,000 untuk pelajar SPM serta pelbagai lagi bantuan disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan keputusan kepada calon cemerlang STPM Negeri Sembilan di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz Seremban.

Kata Aminuddin, pada tahun lepas sebanyak RM12 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan pendidikan dan dijangka pada tahun ini jumlah tersebut akan terus bertambah.

Sementara itu, pelajar terbaik aliran Sains peringkat Negeri Sembilan, Hew Siow Xuan,20, dari Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz berkata dia menghabiskan masa hujung minggunya dengan mengikuti kelas tuisyen dan kelas tambahan sahaja, sekurang-kurangnya lapan jam.

Anak sulung daripada dua beradik itu berharap agar cita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Petroleum di mana-mana universiti tempatan dapat dicapai.

Dalam pada itu, pelajar cemerlang, Muhammad Fahrin Danial Abd Aziz,20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin menasihatkan kepada semua pelajar agar sentiasa berbuat baik dengan semua orang.

Dia yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru berkata, kejayaan itu bukan sekadar belajar sahaja tetapi hubungan sesama manusia juga sangat penting bagi memastikan diri terus kekal cemerlang. (BERNAMA).

Show More

Related Articles

Back to top button