Program back to school DUN Ampangan ringankan beban ibu bapa

AMPANGAN: Program Back To School anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan berjaya meringankan beban ibu bapa apabila hampir 200 penduduk menerima baucar barangan keperluan persekolahan.
Program yang diadakan dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang itu dianjurkan dengan kerjasama Hayston Trading Co dan Sakan Cawangan Senawang, sempena persediaan pembukaan sesi persekolahan baharu pada Isnin, 12 Januari ini.
Setiap penerima menerima baucar bernilai RM130 bagi pembelian barangan persekolahan, melibatkan sumbangan bersama Ahli Parlimen Seremban, YB Anthony Loke dan ADUN Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.
Tengku Zamrah berkata, inisiatif berkenaan bertujuan membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah.
“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu ibu bapa membuat persediaan awal serta memberi keyakinan kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu,” katanya.
Sebagai nilai tambah, Tengku Zamrah turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.
Perkhidmatan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 150 pelajar hadir mendapatkan perkhidmatan berkenaan.
Keseluruhan program berjalan lancar dan teratur dengan penglibatan aktif masyarakat setempat.



