Berita

Program Hadith 40 perkukuh nilai ihsan dan integriti penjawat awam

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menegaskan bahawa Program Hadith 40 untuk Penjawat Awam merupakan satu pendekatan berimpak tinggi dalam membentuk budaya kerja berasaskan nilai Islam dan akhlak Rasulullah SAW dalam kalangan penjawat awam negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Hadith 40 untuk Penjawat Awam Daerah Seremban, yang diadakan di Masjid Negeri, Seremban pagi tadi.

Menurut Aminuddin, program ini adalah kesinambungan kepada penerbitan buku “Hadith 40 Imam an-Nawawi: Al-Qawwam – Hadith 40 untuk Penjawat Awam Negeri Sembilan”, yang telah dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara pada tahun lalu.

“Program ini menjadi wahana penting untuk menyuburkan kefahaman agama serta menanam nilai iman dan ihsan dalam etika perkhidmatan awam.

“Hadith-hadith pilihan Imam an-Nawawi bukan hanya untuk dibaca, tetapi untuk dihayati dan diterjemahkan dalam tindakan.

“Ia mendidik kita agar berkhidmat dengan kasih sayang, kejujuran dan tanggungjawab sosial.

“Sifat “pengawasan dalaman” perlu menjadi asas kepada setiap penjawat awam.

“Integriti sebenar bukan hanya diukur melalui pemantauan luaran, tetapi melalui kesedaran dalaman yang berakar pada taqwa dan kejujuran hati.

“Menjalankan tugas dengan taqwa bermaksud melaksanakan tanggungjawab walau tanpa pengawasan.

“Jika setiap penjawat awam menghayati nilai ini, kita akan mencapai makna sebenar penghayatan integriti,” jelasnya lagi,” kata Aminuddin.

Program ini turut menampilkan Al-Fadhil Dr. Khazri bin Osman sebagai penceramah utama yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh budaya ilmu dan kefahaman agama di Negeri Sembilan.

Aminuddin turut menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan berteraskan Hadith 40 ini akan membantu melahirkan penjawat awam yang amanah, berdisiplin dan berakhlak tinggi, seterusnya menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri yang bukan sahaja maju dan makmur, tetapi juga berkat dan sejahtera

Show More

Related Articles

Back to top button