Berita

Program Sukaneka 3.0 eratkan jurang antara pemimpin dan masyarakat

AMPANGAN: Program Sukaneka 3.0 dan JPKK Bersama Komuniti yang berlangsung di Balairaya Kampung Jiboi Baru hari ini berjaya menjadi platform mengeratkan hubungan antara kepimpinan setempat dan penduduk, seiring semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai perpaduan dan kesejahteraan bersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, turut hadir memeriahkan program anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta masyarakat setempat.

Beliau berkata, penganjuran program sebegini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi menjadi jambatan kasih yang menghubungkan pemimpin dengan rakyat serta memupuk semangat kejiranan yang semakin erat dalam kalangan komuniti.

“Program seperti ini mendekatkan kita sebagai satu keluarga besar antara pemimpin, jiran dan sahabat.

“Ia melambangkan kekuatan perpaduan yang tumbuh di bumi Ampangan, di mana semua lapisan masyarakat berganding bahu untuk membina komuniti harmoni.

“Suasana ceria dan harmoni jelas terpancar sepanjang program, dengan penglibatan pelbagai peringkat umur daripada kanak-kanak hingga warga emas yang bersama-sama menyertai aktiviti sukaneka dan gotong-royong komuniti,” kata Tengku Zamrah.

Tengku Zamrah turut merakam penghargaan kepada JPKK Kampung Jiboi Baru atas penganjuran program berimpak sosial itu dan menyeru agar inisiatif sedemikian diteruskan di kawasan lain sebagai usaha memperkukuh semangat muafakat rakyat.

“Bersatu hati umpama aur dengan tebing, saling teguh menahan arus, saling kukuh menegak damai.

“Inilah semangat yang kita ingin kekalkan demi kemakmuran bersama,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button