Projek Jalan Bukit Pelandok dan Sungai Pelek dijangka bermula tahun 2026

SEREMBAN: Status semasa Projek Membina Jalan dan Jambatan Sungai Sepang bagi Menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan, dengan Sungai Pelek, Sepang, Selangor kini berada dalam peringkat perolehan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, projek tersebut telah diiklankan pada 3 Julai 2025 dan dijangka Surat Setuju Terima (SST) akan dikeluarkan pada Disember 2025.
“Manakala bagi Projek Membina Jambatan Baharu dan Jalan Tuju Kuala Lukut Ke Chuah, Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan juga berada dalam peringkat perolehan dan dijangka Surat Setuju Terima (SST) akan dikeluarkan pada April 2026,” ujar beliau.
Aminuddin berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Chuah, Yew Boon Lye (PH) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.
Yew mengemukakan soalan; dalam Belanjawan 2023 dan 2024, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan untuk kedua-dua laluan ini bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Sepang – Lukut dan Lukut – Linggi.
Mohon menyatakan apakah status kemajuan kedua-dua projek sehingga kini dan sebarang permasalahan bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan?



