Berita

PTGNS Lancar Kempen “Moh Dogheh Bayar Cukai Tanah / Cukai Petak” Tahun Ini

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan (PTGNS) menegaskan komitmen mereka dalam memperkukuhkan kutipan hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2026 melalui pelancaran Kempen “Moh Dogheh Bayar Cukai Tanah / Cukai Petak”.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin bin Harun sempena Sambutan Hari Tanah Negara di NS Fest 2025 pada 28 Disember 2025.

Kempen ini bermula dengan pemberian 500 hadiah istimewa kepada pembayar cukai tanah dan cukai petak terawal di Kaunter PTGNS mulai 2 Januari 2026

Diantara hadiah yang akan diterima ialah payung, botol vakum, beg galas dan beg jute sebagai tanda penghargaan kepada pemilik tanah yang bertanggungjawab.

Dalam kenyataan itu, PTGNS turut menganjurkan Cabutan Bertuah Mega bagi pembayar cukai tanah dan cukai petak yang membuat bayaran secara dalam talian melalui Portal e-PTGNS, Kiosk Pintar Hemat, Pejabat Daerah dan Tanah serta aplikasi N9PAY bermula 1 Januari hingga 31 Mei 2026.

Diantara hadiah menarik termasuk motosikal, televisyen pintar, mesin basuh, penyaman udara, komputer tablet dan gold bar sebagai usaha meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan digital PTGNS.

Sehingga akhir 2025, kutipan cukai tanah telah berjaya mencapai RM133.3 juta melebihi sasaran RM132.45 juta manakala jumlah keseluruhan hasil tanah pula menembusi RM476 juta jauh melepasi sasaran RM393.14 juta menandakan kejayaan cemerlang PTGNS dalam mencapai sasaran hasil.

Menurut PTGNS, sasaran kutipan hasil cukai tanah bagi tahun 2026 termasuk tunggakan ditetapkan sebanyak RM162.75 juta meningkat daripada RM151.35 juta pada tahun 2025.

Bagi memastikan sasaran ini tercapai, PTGNS melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Kiosk Pintar Hemat e-PTGNS, pemasangan papan tanda peringatan dan billboard, promosi melalui jingle RTM serta kaunter bergerak dan kaunter sementara di lokasi strategik.

Pentadbiran tanah Negeri Sembilan menegaskan semua pemilik tanah perlu menunaikan tanggungjawab membayar cukai tanah dan cukai petak.

Sehingga Disember 2025, sebanyak 496 Notis Borang 6A telah dikeluarkan kepada pemilik tanah yang gagal membayar.

Semua pemilik tanah diseru membuat pembayaran sebelum 31 Mei 2026 bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan termasuk denda, tunggakan dan perampasan tanah.

Show More

Related Articles

Back to top button