Rakyat dinasihatkan tidak terheret dalam polemik media sosial

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menasihatkan rakyat supaya tidak trheret dalam polemik media sosial.
“Kecanggihan teknologi juga menuntut rakyat supaya tidak terheret dalam polemik media sosial sehingga menjadikan semua isu sebagai beban atau medan politik sehingga alpa akan perkara yang lebih mustahak seperti pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial,” kata Anwar.
Anwar berkata demikian di Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
“Dalam pada itu, perubahan marcapada dari segi teknologi dan geopolitik termasuk pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat, menuntut kita semua untuk bersiap siaga dari segi asas ekonomi agar lebih diperkukuh selain pemikiran yang lebih bijaksana dan cekal demi mencapai kemajuan yang lestari.
“Saya singgung perkara tersebut sewaktu Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri dan percaya, dalam konteks pentadbiran, masih banyak perkara yang memerlukan perhatian antaranya kecuaian, ketirisan dan gejala rasuah dalam pelbagai bidang yang harus diperbaiki dengan segera,” ujar beliau.