Rambutan sekilogram RM7, kenapa tak nak tanam rambutan?

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun hari ini menegur sikap sebahagian rakyat yang tidak mahu berusaha demi kemajuan sendiri.
“Kita tidak boleh bergantung kepada tenaga kerja asing.
“Banyak peluang pekerjaan tetapi yang kerja warga asing.
“Kelapa hari ini harga RM3 ke RM4 sebiji. Permintaan tinggi ketika musim perayaan.
“Habis itu kenapa tak nak tanam pokok kelapa di kawasan rumah kampung?
“Kalau tanam tiga pokok kelapa pun, bila keluar hasil berpuluh-puluh buah kelapa yang boleh dijual.
“Rambutan pula harganya RM7 sekilogram. Kenapa tak nak tanam pokok rambutan? Kenapa tak nak berusaha?
Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Program MADANI Prihatin: Inisiatif Kasih Sejahtera, anjuran Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan (PPNNS), dengan kerjasama rakan strategik termasuk Farm Fresh Milk Sdn Bhd dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Dalam pada itu, Aminuddin menyerahkan bantuan peralatan tambahan kepada peserta Program uKasih Khas (uKasih Ekonomi), penyerahan kit perniagaan dan produk Farm Fresh kepada 20 peserta Program Keusahawanan Usahawan Susu 2025; dan penyampaian bantuan Program Lestari YaPEIM, meliputi baik pulih dan bina baharu rumah kepada empat peserta eKasih terpilih.
Program uKasih Khas yang dilancarkan pada tahun 2022 telah memberi peluang kepada 12 peserta eKasih untuk membina asas ekonomi yang lebih kukuh.
“Program ini bertujuan untuk menyediakan bantuan permulaan kepada peserta yang mempunyai potensi keusahawanan, agar mereka dapat berdikari dan menjana pendapatan yang mampan.
“Dalam pada itu, 20 peserta dari Program Keusahawanan Usahawan Susu 2025 dari semua daerah telah dipilih dan akan menerima bantuan bernilai RM1,500 setiap seorang berbentuk produk Farm Fresh bernilai RM1,000 dan kit permulaan perniagaan bernilai RM500.
“Saya berharap program-program yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup peserta, melahirkan komuniti usahawan mikro yang berdaya saing, mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan; dan seterusnya menyemai semangat berdikari dalam kalangan kumpulan rentan,” kata Aminuddin.