SEREMBAN: Daerah Rembau mencatatkan keputusan terbaik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 di Negeri Sembilan.
Exco Pendidikan Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Abd Malek berkata, Daerah Rembau mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.74.
“Seremban mencatatkan GPS 4.54, Kuala Pilah 4.58, Jempol/Jelebu 4.86, Tampin 4.87 dan Port Dickson 5.18.
“Keputusan peperiksaan SPM dilaporkan berdasarkan pencapaian calon dan prestasi mata pelajaran.
“Pencapaian calon merujuk kepada sejauh mana calon menguasai pembelajaran dalam kesemua mata pelajaran yang diuji.
“Indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negeri adalah GPS.
“Nilai GPS yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik,” kata Mohamad Rafie.
Mohamad Rafie berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh ADUN Sungai Lui, YB Mohd Razi Mohd Ali di Persidangan Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan ke-14 pada Selasa.