RM20 Bilion dilabur bagi pembinaan ‘Nexus Yang’ di Negeri Sembilan
SENAWANG – Sebanyak RM20 bilion telah dilaburkan bagi pembinaan Kampus Pusat Data Hijau ‘Nexus Yang’ di Taman Perindustrian NS Semiconductor Valley (NSSV), Negeri Sembilan di sini.
Majlis pecah tanah projek berkenaan telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan.
Projek ini hasil kerjasama Vena Nexus dan direka untuk menyokong pembangunan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta infrastruktur pengkomputeran awan serantau di Asia Tenggara.
Menteri Besar Negeri Sembilan berkata dengan perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berfokus, Negeri Sembilan berpotensi muncul sebagai salah satu hab utama data dan teknologi di Malaysia.
“Kita bukan sahaja memiliki pelan pembangunan komprehensif melalui Malaysia Vision Valley (MVV 2.0) malah turut diperkukuh dengan kerangka dasar yang kondusif terhadap inovasi serta pelaburan bernilai tinggi,” katanya.
Kampus Pusat Data Hijau ‘Nexus Yang’ dibangunkan di atas kawasan seluas 157 ekar, berskala hiperskala dan memang sedia AI dengan sasaran awal beban IT sekitar 350 megawatt.
Pelaksanaan projek ini selaras dengan keutamaan perindustrian dan ekonomi negeri yang mendapat manfaat daripada sumber kukuh MVV 2.0 termasuk akses strategik ke Lembah Klang serta hab serantau di Johor dan Singapura.
“Projek ini dijalankan secara berfasa dan dijangka siap awal tahun depan dengan suku pertama berjumlah RM10 bilion,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkenaan.
Projek ini juga dijangka mewujudkan 190 jawatan tetap berkemahiran tinggi termasuk dalam bidang kejuruteraan, operasi dan perkhidmatan sokongan.
Beliau berharap Negeri Sembilan bersedia menempatkan bakat terbaik termasuk pelajar cemerlang yang dari kelahiran negeri ini agar mereka dapat kembali berkhidmat di negeri sendiri dan memanfaatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi yang disediakan.
Turut hadir pada majlis ini ialah Simone Grasso, Ketua Global Vena Nexus dan Ketua Pegawai Pelaburan Vena Group.
Ketua Global Vena Nexus turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sembilan atas sokongan serta bimbingan berterusan.
“Negeri ini terpilih sebagai lokasi strategik bagi pembinaan ‘Nexus Yung’ kerana kedudukannya yang hampir dengan lokasi utama serta keterhubungan dengan Greater Kuala Lumpur, hab selatan Johor, dan Singapura. Ini menjadikannya sesuai sebagai tumpuan pelaburan digital bernilai tinggi dan bersifat jangka panjang,” katanya.




