SEREMBAN: Enam buah sekolah di Parlimen Rasah akan menerima peruntukkan berjumlah lebih RM200,000 bagi tujuan pembangunan sekolah.
Ahli Parlimen Rasah, YB Cha Kee Chin berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Pengetua, Guru Besar, Yang DiPertua PIBG, Guru Penolong Kanan dan Guru Panitia dari enam buah sekolah tersebut.
“Perbincangan menjurus kepada pembangunan sekolah, khususnya pembekalan kelengkapan kepada sekolah melalui peruntukan saya selaku Ahli Parlimen Rasah.
“Pengetua atau guru besar sebagai ketua pentadbir sekolah adalah individu yang paling mengetahui keperluan sekolah.
“Peruntukan Ahli Parlimen Rasah yang bernilai lebih RM200,000 telah dibincangkan dan dimuktamadkan kepada enam buah sekolah.
“Saya mengalu-alukan perbincangan yang produktif seperti ini, dan ia akan disusuli dengan urusan dokumentasi dan permohonan kepada ICU JPM,” ujar Cha.
Cha berkata, perbincangan sebegini membolehkan beliau mengetahui keperluan di setiap sekolah berkenaan dan beliau akan menyalurkan peruntukan berdasarkan garis panduan yang perlu dipatuhi.
Enam buah sekolah yang akan menerima peruntukan tersebut ialah:
a) Kolej Tingkatan 6 Forest Heights
b) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru Mambau
c) Sekolah Kebangsaan Seremban Jaya 2
d) Sekolah Kebangsaan Seremban 2A
e) Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 3
f) Sekolah Kebangsaan Jijan