Berita

RM5 juta diperuntukkan untuk naik taraf STAR, Kerajaan Negeri tambah peruntukan NS FC

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sedang melaksanakan kerja-kerja naik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi (STAR) melibatkan beberapa komponen utama bagi meningkatkan tahap keselesaan serta kemudahan stadium.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Berhormat Datuk Seri Utama Haji Aminuddin Harun berkata kerja-kerja berkenaan merangkumi pengecatan semula stadium, naik taraf bilik persalinan pemain serta pemasangan lampu limpah baharu. Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

“Anggaran kos keseluruhan projek naik taraf ini adalah sekitar RM5 juta termasuk pemasangan lampu limpah dan kerja-kerja ini diharapkan dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas mengenai harga tiket perlawanan, beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan naik taraf stadium tidak akan memberi sebarang kesan kepada harga tiket sedia ada.

Dalam perkembangan berkaitan prestasi pasukan, Kerajaan Negeri turut menambah peruntukan kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi membolehkan pengambilan beberapa pemain baharu yang telah diluluskan sebelum ini.

Walaupun prestasi pasukan dilihat masih belum konsisten, pihak pengurusan dan pasukan kejurulatihan diharap dapat memberikan tumpuan sepenuhnya khususnya menjelang perlawanan di laman sendiri demi mencapai keputusan yang lebih memberangsangkan.

“Kami memberi kepercayaan kepada pihak pengurusan untuk menguruskan pasukan tanpa campur tangan berlebihan namun mengharapkan pulangan yang setimpal kepada negeri dan para penyokong,” tambahnya.

Aminuddin berkata tekanan daripada penyokong serta reaksi di media sosial merupakan perkara biasa dalam dunia bola sepak. Sehubungan itu, pengurusan, jurulatih dan pemain perlu memikul tanggungjawab sebagai satu pasukan yang besar.

Menurut beliau, aspek paling penting ketika ini adalah semangat dan kesungguhan pemain di atas padang. Kalah dan menang merupakan lumrah pertandingan namun penyokong mahukan komitmen, disiplin serta perjuangan yang bersungguh-sungguh setiap kali beraksi.

“Penyokong memahami keputusan perlawanan tetapi kesungguhan itu yang paling utama dan kita masih belum berada pada tahap yang diinginkan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button