YB Kita

RM8.8 juta siapkan masjid Jelebu, lambang penyatuan ummah walau berlainan politik

JELEBU: Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Jalaluddin Alias merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun atas kehadiran beliau dalam majlis rasmi penyerahan Masjid Dato’ Undang Luak Jelebu yang telah siap sepenuhnya dan kini boleh digunakan untuk solat Jumaat serta permulaan ibadah Ramadan tahun ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan sebanyak RM8.8 juta bagi menyiapkan masjid ini yang mampu menampung sehingga 1,000 jemaah.

Menurut beliau, projek pembinaan masjid ini bermula dengan kelulusan kerajaan terdahulu.

“Projek pembinaan masjid ini bermula dengan kelulusan Kerajaan Barisan Nasional. Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, peruntukan asal sebanyak RM1.0 juta dibatalkan seketika sebelum diluluskan semula oleh Datuk Seri Azmin Ali sebagai Menteri Ekonomi. Jumlah asal itu sebanyak RM5.6 juta tidak mencukupi, lalu kerajaan Perikatan Nasional menambah RM3.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM8.8 juta. Proses reka bentuk dan pembinaan akhirnya disiapkan semasa pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ini menunjukkan bahawa projek ini tidak mengira latar belakang politik tetapi menjunjung penyatuan ummah demi kepentingan masyarakat Islam di Jelebu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis.

Masjid ini kini siap sepenuhnya dan dilengkapi dengan dewan keraian, bilik pentadbiran, bilik imam, bilik pengurusan jenazah, sistem audio, kemudahan wuduk yang selesa, menara setinggi 25.2 meter dan kawasan parkir mesra OKU selain menampung sehingga 1,000 jemaah.

Beliau turut menekankan bahawa melalui Belanjawan Negeri 2026, kerajaan negeri memperuntukkan dana untuk menaik taraf masjid-masjid termasuk Masjid Negeri, selain menyediakan insentif kepada bilal, siak dan pembantu wanita.

“Peruntukan ini memastikan masjid dapat dimakmurkan dengan solat berjemaah, majlis ilmu dan aktiviti kebajikan,” tambahnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button