Berita

Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Sembilan 2026 dibatalkan, fokus penjimatan perbelanjaan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk membatalkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Bandar Sri Jempol pada 4 April ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan pendekatan berjimat-cermat dalam perbelanjaan Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, selain program di Bandar Sri Jempol, Sambutan Hari Raya MADANI Negeri Sembilan bersama Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung di Port Dickson pada 12 April turut dibatalkan.

“Kerajaan Negeri Sembilan telah bersetuju untuk membatalkan program sambutan Aidilfitri peringkat negeri. Pembatalan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Program Mantai Raya 2026 di Masjid Sikamat, di sini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) supaya mengamalkan perbelanjaan lebih berhemah.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan pengurusan kewangan lebih berdisiplin selain memberi contoh yang baik dalam keadaan ekonomi semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin memaklumkan Program Mantai Raya 2026 menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, walaupun terdapat beberapa aspek yang perlu ditambah baik.

Katanya, kekurangan kaunter jualan menyebabkan pengunjung terpaksa menunggu lebih lama, namun perkara itu akan diperbaiki pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri turut memberikan subsidi sebanyak RM3 bagi 500 kilogram daging yang pertama.

“Program Mantai Raya ini dianjurkan di semua 36 DUN dan akan diteruskan sebagai satu tradisi negeri,” ujarnya.

Beliau berharap penganjuran program tersebut dapat memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Show More

Related Articles

Back to top button