Sayembara Randai Negeri Sembilan 2025

SEREMBAN: Bagi memelihara warisan budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS) dengan kerjasama Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan (KASET N9) telah menganjurkan Sayembara Randai Negeri Sembilan 2025 pada 18 dan 19 September 2025 di Mydin Seremban 2 bermula jam 9.00 pagi hingga 6.30 petang.
Sebanyak tujuh kumpulan berentap merebut gelaran juara.
Kesemua kumpulan yang bertanding telah mempersembahkan aksi terbaik dengan penuh tenaga dan kreativiti, sekali gus memukau para peminat seni randai yang hadir menyaksikan pertandingan ini.
Seni randai merupakan antara seni persembahan tradisi terkenal di Negeri Sembilan. Namun, pertandingan seumpama ini jarang dianjurkan.
Penganjuran kali ini menjadi usaha penting memperkasakan randai agar lebih dikenali, difahami dan diwarisi oleh generasi muda serta masyarakat umum, sekali gus menjamin kelestariannya.
Selain juara, kategori lain turut dipertandingkan iaitu Teromba Terbaik, Pendendang Terbaik, Pengarah Terbaik dan Anugerah Khas Juri.
Para pemenang membawa pulang hadiah wang tunai, sijil, mock cheque dan hamper.
Dalam pertandingan ini, kumpulan Rancak Raya telah dinobatkan sebagai Johan, manakala Naib Johan menjadi milik kumpulan Cemara Seni.
Tempat ketiga pula disandang oleh kumpulan Rantago. Empat kumpulan lain turut menerima saguhati iaitu Sanggar Pusako Muallim 1, Randai Tabang Karimbo, Gema Nagari serta Sanggar Pusako Muallim 2.
Bagi anugerah khas, Sanggar Pusako Muallim 1 menerima Anugerah Khas Juri, manakala Anugerah Pengarah Terbaik disandang oleh kumpulan Rancak Raya.
Sementara itu, Cemara Seni berjaya meraih Anugerah Teromba Terbaik.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh EXCO Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JKKN, Mohd Radzi Omar (mewakili Ketua Pengarah JKKN) dan Timbalan Pengarah JKKN Negeri Sembilan, Mohd Zuhairi Ibrahim (mewakili Pengarah JKKN Negeri Sembilan).
Program anjuran Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan (KASET NS) dengan kerjasama JKKN Negeri Sembilan ini pernah mendapat sambutan baik melalui Sayembara Randai Malaysia 2022.
Program Sayembara Randai Negeri Sembilan 2025 merupakan inisiatif Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan dalam mengangkat semula seni warisan randai agar kekal relevan dan tidak luput dek zaman melalui penganjuran pertandingan ini.
Program ini juga diyakini dapat mencungkil bakat peserta untuk meneruskan legasi randai, khususnya dalam kalangan golongan belia sebagai pewaris bidang kesenian randai.
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya dan laman web JKKN.