BeritaYB Kita

Sebanyak 1,345 projek pembangunan, infrastruktur dan penyelenggaraan diluluskan dengan peruntukan RM431 juta

Sebanyak  1,345 projek dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM431 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan projek infrastruktur dan penyelenggaraan oleh tujuh (7) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Sembilan sepanjang tahun 2025.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, YB  J. Arul Kumar berkata peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam yang selamat, selesa serta berkualiti.

Menurut Arul, PBT memainkan peranan yang amat penting dalam menangani aduan dan permasalahan rakyat sama ada di kawasan perumahan, komersial mahupun kawasan perindustrian. Justeru, setiap isu yang dibangkitkan perlu ditangani dengan segera dan berkesan demi menjamin keselamatan serta keselesaan masyarakat setempat.

“Melalui peruntukan hampir setengah bilion ringgit ini, pelbagai aduan dan masalah rakyat dapat ditangani termasuk penurapan jalan, menaiktaraf sistem perparitan dan longkang, pembaikan cerun serta kawasan tanah runtuh, pemasangan dan penggantian lampu LED selain menaiktaraf kemudahan awam dan infrastruktur sokongan lain,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa hasil atau kutipan cukai taksiran yang diterima oleh PBT tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos projek pembangunan dan penyelenggaraan tersebut.

Namun begitu, PBT telah berjaya memperoleh peruntukan daripada pelbagai sumber termasuk Kerajaan Negeri, Malaysia Road Record Information System (MARRIS), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta agensi-agensi berkaitan yang lain.

Tambahnya lagi, kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri, PBT dan agensi Persekutuan amat penting bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara optimum dan memberi impak langsung kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau pelaksanaan semua projek ini agar ia dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi yang ditetapkan serta benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button