Seorang tokan, tiga perempuan antara dicekup positif dadah

SEREMBAN: Seorang tokan manakala tiga wanita antara 56 individu disahkan positif dadah dalam ‘Ops Perdana’ Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan yang dijalankan selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu.
Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasaan, Mohamad Afiq Rajali berkata, operasi itu menyasarkan kawasan panas penagihan di semua daerah di Negeri Sembilan iaitu Seremban, Port Dickson, Jempol dan Tampin.
Menurutnya, seramai 58 anggota AADK digerakkan dalam operasi itu.
“Berdasarkan pecahan umur, majoriti mereka yang ditahan adalah dalam lingkungan 19 hingga 40 tahun (41 orang), diikuti 41 hingga 50 tahun (09 orang), 51 hingga 60 tahun (05 orang) dan 61 tahun keatas (01 orang).
“Kejayaan operasi kali ini adalah dengan tertangkapnya tokan (pusher) yang sentiasa bergerak aktif di sekitar Felda Gemas,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Afiq berkata, metamphetamine (syabu) menjadi dadah paling banyak dikesan dalam operasi itu dengan 38 kes.
Hubungi talian hotline AADK 1-800-22-2235 (AADK) atau Whatsapp 019 626 2233 untuk khidmat nasihat, pertanyaan dan aduan.
Layari adk.gov.my untuk ketahui perkhidmatan AADK.