Berita

Sheqal tinggal dunia hiburan, kini pesakit strok

SENAWANG: Penyanyi era 90-an yang popular dengan lagu Cinta Nusantara, Shahrin Salehuddin, 59, atau lebih dikenali sebagai Sheqal kini sudah berkerusi roda dan tidak mampu menguruskan diri akibat beberapa kali diserang strok.

Menurut isteri beliau, Sheqal turut mengalami beberapa penyakit lain sejak tiga tahun lalu dan tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan sejak itu.

Pasangan yang tinggal menyewa di Taman Tuanku Jaafar ini masih menanggung dua orang anak berusia 19 dan 20 tahun yang masih belajar.

Ketika diziarahi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Sheqal berkata, beliau telah pun menutup pintu hatinya untuk sebarang undangan dalam dunia hiburan bahkan sekiranya boleh, beliau tidak mahu lagu-lagu beliau dikumandangkan di mana-mana platform media.

“Sekarang saya banyak menulis dan saya berhasrat membukukan penulisan saya yang kebanyakannya berkisar mengenai tasawuf,” kata beliau.

Katanya lagi, beliau amat berterima kasih dengan ziarah dan keprihatinan MAINS kerana mengenangkan beliau masih mempunyai tanggungan dan telah kehilangan punca pendapatan.

Melalui dana zakat, MAINS telah menyampaikan bantuan wang tunai segera berjumlah RM500 bersama hamper Hari Raya.

Sheqal juga akan dibantu dengan bantuan kewangan secara bulanan selepas ini.

Program ziarah ini diketuai Penolong Pegawai MAINS (Operasi 2) Cawangan Senawang, Puan Sharifah Marshitah Syed Mokhtar dan Penolong Pegawai Agihan MAINS Cawangan Senawang, Encik Mohamad Asyraff Abdul Aziz.

Show More

Related Articles

Back to top button