Stesen kereta api Seremban hampir siap sepenuhnya selepas kerja naik taraf

SEREMBAN: Kerja-kerja naik taraf Stesen Kereta Api Seremban kini berada di peringkat akhir apabila mencatat kemajuan 97 peratus setakat semalam, sekali gus meletakkan projek berkenaan di landasan tepat untuk disiapkan sepenuhnya pada Mac 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata, baki tiga peratus kerja melibatkan proses ujian dan pentauliahan bagi memastikan aspek keselamatan serta keselesaan pengguna berada pada tahap terbaik.
Menurut beliau, projek bernilai RM8.75 juta itu merangkumi kerja-kerja penambahbaikan struktur bangunan, seni bina serta kemasan dalaman stesen bersejarah berkenaan.
“Ini merupakan lawatan saya yang ketiga dan setiap kali lawatan dibuat, kemajuan kerja yang ditunjukkan amat memberangsangkan.
Projek ini masih mengikut jadual ditetapkan,” katanya selepas meninjau tapak projek di sini.
Beliau yakin kontraktor yang dilantik mampu menyiapkan projek mengikut tempoh sasaran meskipun berdepan cabaran cuaca tidak menentu sepanjang musim hujan.
Projek naik taraf yang bermula pada Januari 2023 itu turut melibatkan kerja pemulihan menara jam, naik taraf sistem mekanikal dan elektrikal serta penambahbaikan kemudahan awam di stesen tersebut.
Stesen Kereta Api Seremban yang berusia lebih 115 tahun masih beroperasi dan telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan Negara sejak 2015.
Dalam perkembangan berasingan, Arul Kumar memaklumkan pembinaan Stesen Seremban baharu di bawah projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 (KVDT2) bernilai RM154 juta kini sedang dilaksanakan.
Projek berkenaan, yang dikendalikan oleh Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, melibatkan pembinaan kemudahan stesen moden dengan pendekatan pembangunan bersepadu tanpa menjejaskan identiti warisan bangunan sedia ada.
Beliau berkata, stesen baharu itu kelak akan dilengkapi pavilion yang menempatkan fungsi komersial dan sosial bagi menghidupkan semula kawasan stesen sebagai pusat komuniti dan tarikan bandar.



