Berita

Sumud Flotila ditahan rejim zionis, bukanlah kali pertama berlaku

Lebih 15 tahun lalu, dunia pernah digemparkan dengan tragedi kapal Mavi Marmara yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Palestin. Kapal itu membawa kira-kira 600 aktivis dari 36 negara termasuk doktor, wartawan, ahli politik dan sukarelawan biasa.

Mereka tidak bersenjata hanya berbekalkan semangat solidariti demi membela Palestin.

Namun pada 31 Mei 2010, hanya 65 kilometer sebelum tiba di pantai Gaza, kapal tersebut diserang komando rejim Zionis di perairan antarabangsa Laut Mediterranean. Serangan itu mengorbankan sembilan aktivis manakala semua bantuan yang dibawa dirampas. Peristiwa berdarah ini kekal sebagai titik hitam dalam sejarah kemanusiaan dunia.

Perlu diingatkan, misi flotila bukanlah yang pertama. Tragedi Mavi Marmara berlaku ketika misi ke-37, sejak pelayaran pertama flotila dilancarkan pada tahun 2008.

Flotila berkenaan dianjurkan oleh Gerakan Bebaskan Gaza bersama Yayasan Hak Asasi, Pembebasan dan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH) dengan matlamat memecahkan sekatan Israel terhadap Gaza dan menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Hari ini, semangat itu diteruskan melalui Global Sumud Flotilla (GSF) yang menjadi simbol kasih sayang, harapan dan solidariti masyarakat dunia terhadap Palestin yang terus dizalimi.

Namun, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan laporan terbaru apabila 14 sukarelawan Malaysia ditahan oleh tentera Zionis ketika menyertai misi GSF.

Lima kapal utama iaitu Alma, Sirius, Adara, Hio, Fair Lady dan HIO telah dipintas dan diculik serta dinaiki secara paksa oleh Tentera Laut Israel di perairan antarabangsa.

Menurut kenyataan GSF, sistem komunikasi kapal-kapal terbabit dipercayai disabotaj oleh rejim Israel bagi menghalang siaran langsung melalui media sosial serta menghentikan penghantaran isyarat kecemasan.

Malah, beberapa kapal lain juga dilaporkan terputus hubungan komunikasi sejurus selepas insiden itu.

Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk menggunakan semua saluran sah di peringkat antarabangsa bagi menjamin keselamatan rakyat yang menyertai misi kemanusiaan tersebut di samping memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas kekejaman yang dilakukan.

Show More

Related Articles

Back to top button