DAP Negeri Sembilan Dijangka Umum Calon Lebih Awal, Lebih Separuh Kekal Penyandang
SEREMBAN: Parti Tindakan Demokratik (DAP) dijangka mengumumkan calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lebih awal bagi memberi ruang secukupnya kepada mereka membuat persiapan sebelum hari penamaan calon.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu kini sedang melaksanakan proses pemilihan dan saringan calon sebelum dimuktamadkan dalam masa beberapa hari lagi.
Langkah mengumumkan calon lebih awal turut memberi peluang kepada calon baharu untuk menyesuaikan diri dengan kawasan yang bakal ditandingi serta memperkenalkan diri kepada pengundi.
“Calon-calon akan ditampilkan dan diumumkan lebih awal. Yang pertamanya untuk memberikan ruang dan masa yang mencukupi kepada calon-calon membuat persiapan sebelum hari penamaan calon.
“Yang keduanya juga untuk mereka dapat menyesuaikan diri dengan kawasan, terutamanya untuk calon yang baharu dan memberikan gambaran kepada pengundi siapa calon kita di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan skrin elektronik LED Dataran Lobak serta mengumumkan calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak, di sini, hari ini.
Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, walaupun terdapat beberapa pertukaran calon, proses tersebut dijangka berjalan lancar kerana parti itu telah membudayakan semangat sokongan antara penyandang dan calon baharu.
Menurutnya, penyandang yang tidak dicalonkan semula perlu membantu calon yang dipilih demi memastikan kesinambungan perjuangan parti.
“Apabila seseorang calon penyandang itu digantikan, maka penyandang perlulah memberikan sokongan kepada calon baharu untuk memastikan kemenangan dan kesinambungan perjuangan kita di kawasan masing-masing.
“Ini satu proses yang matang yang perlu kita laksanakan dan saya yakin di Negeri Sembilan kita tidak mempunyai banyak isu atau masalah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa DAP berhasrat memperkenalkan beberapa muka baharu pada PRN kali ini, namun majoriti calon yang bakal diketengahkan masih terdiri daripada penyandang.
“Lebih separuh adalah penyandang kawasan masing-masing. Itu yang saya boleh katakan dalam konteks Negeri Sembilan setakat ini” katanya.



