Berita

Aminuddin menyambut baik pengumuman khas Perdana Menteri

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyambut baik pengumuman khas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai perhargaan kepada rakyat.

Aminuddin berkata, Perdana Menteri menegaskan bahawa semua perkara yang diumumkan terutamanya yang melibatkan peruntukan kerajaan adalah hasil dari perancangan dan usaha keras semua pihak yang berjaya menarik pelaburan, mengurus ekonomi negara dan mengekang ketirisan di bawah Kerajaan MADANI.

“Perdana Menteri berkata beliau mengambil sedikit masa untuk memulangkan semula kepada rakyat disebabkan kekangan dan bebanan hutang semasa negara.

“Atas usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Sembilan menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri dengan memastikan Negeri Sembilan akan menjadi sebuah negeri yang berdaya saing dan mandiri melalui penyediaan pelbagai perkhidmatan dan kebajikan kepada rakyat berdasarkan kepada kekuatan ekonomi dan kekukuhan pendapatan negeri yang terhasil dari pelbagai pelaburan dalam dan luar negara.

“Dengan imej YAB Perdana Menteri yang berjaya menarik pelabur untuk masuk ke Malaysia, sudah masanya Negeri Sembilan mengorak langkah yang lebih proaktif dalam mencapai taraf negeri maju dan mampan dengan adanya pelbagai tapak industri di Negeri Sembilan yang akan menjadi pilihan para pelabur,” kata Aminuddin.

Aminuddin tambah, Kerajaan Negeri Sembilan akan sentiasa bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan dan akan memastikan manfaat yang digagaskan di peringkat persekutuan kepada rakyat akan berkesinambungan di peringkat Negeri Sembilan.

“Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukkan sebanyak RM29.75 juta bagi Skim Sejahtera Rakyat yang melibatkan rakyat Negeri Sembilan dari kategori bayi sehingga warga emas.

“Inilah komitmen yang telah laksanakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dalam mengagih sumber pendapatan negeri yang dihasilkan.

“Kerajaan Negeri Sembilan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas pengumuman penghargaan untuk rakyat khususnya bagi rakyat Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button