Berita

Kerajaan Persekutuan rancang urus semua sisa Negeri Sembilan di Port Dickson

SEREMBAN: Operasi pengurusan sisa pepejal di Negeri Sembilan terus diperkemaskan apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan perancangan jangka panjang untuk menguruskan semua sisa di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Ladang Tanah Merah, Port Dickson.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar berkata, melalui Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Kerajaan Persekutuan mengambil alih lima tapak pelupusan sedia ada bermula 1 November 2016.

“Walaupun begitu, dua tapak di Tampin dan Jempol telah ditutup pada 2019 kerana mencapai kapasiti maksimum.

“Pada masa ini, hanya tuga tapak pelupusan masih beroperasi di negeri ini iaitu di Ladang Tanah Merah, Port Dickson, Tapak Ulu Maasop, Kuala Pilah dan Tapak Sungai Muntoh, Jelebu.

“Semua jenis sisa pepejal termasuk domestik, institusi, komersial, industri, binaan dan pembersihan awam dikutip oleh syarikat konsesi dan syarikat swasta berlesen, sebelum dilupuskan di tapak-tapak berkenaan.

“Buat masa ini, tiada perancangan untuk menaik taraf atau membuka tapak baharu menggantikan tapak sedia ada yang akan penuh.

“Sebagai alternatif, Kerajaan Persekutuan merancang untuk membangunkan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di daerah Tampin.

“Stesen ini akan berfungsi sebagai pusat transit sebelum sisa dihantar ke tapak pelupusan menggunakan kenderaan berkapasiti besar, tanpa menjejaskan jadual kutipan sedia ada.

“Bagi penyelesaian jangka panjang pula, semua sisa di negeri Sembilan akan disalurkan ke Tapak Ladang Tanah merah.

“Hal ini kerana tapak tersebut dilengkapi dengan fasiliti ‘Waste Segregation Facility’ (WSF) dan “Waste to Energy’ (WTE), menjadikannya projek pertama di negara ini yang menggunakan kaedah pelupusan mesra alam,” kata Arul Kumar.

Arul Kumar berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chuah, Yew Boon Lye di Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri yang ke-15 Hari Ketiga.

Show More

Related Articles

Back to top button