Berita

Tak hormati Ramadan, siasatan akan dijalankan: JHEAINS

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menjalankan siasatan berkaitan dakwaan seorang wanita dipercayai tidak menghormati bulan Ramadan menerusi siaran langsung di akaun TikTok miliknya pada Ahad lepas.

Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah berkata, wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kuala Pilah semalam, dan kini disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam.

“Setelah diteliti video tular tersebut, wanita berkenaan berinteraksi secara langsung dengan pengikutnya kira-kira 6:45 petang.

“Semasa siaran langsung itu, individu berkenaan didapati secara terbuka makan dan minum,” katanya dalam kenyataannya.

Mohd Asri turut menasihatkan orang ramai khususnya umat Islam supaya lebih peka terhadap sensitiviti agama serta memuliakan Ramadan dengan mengamalkan sikap dan tingkah laku terpuji selaras dengan tuntutan agama Islam.

“JHEAINS komited memastikan setiap urusan berkaitan umat Islam di negeri ini diurus dengan tertib, penuh hikmah dan berlandaskan syariat Islam serta undang-undang yang berkuat kuasa,” kata Mohd Asri.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan seorang wanita didakwa minum air secara terbuka ketika berinteraksi bersama pengikutnya ketika sedang bersiaran langsung (live) menerusi TikTok.

Sumber: Bernama

Show More

Related Articles

Back to top button