BeritaMenarik

Tanah perkuburan Islam dan bukan Islam mencukupi di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Negeri Sembilan tidak menghadapi isu kekurangan tanah perkuburan; baik untuk orang Islam, mahu pun orang Bukan Islam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, tiada sebarang masalah berhubung kekurangan tanah perkuburan Islam di negeri ini.

“Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri melihat ada keperluan untuk membuka tanah perkuburan bukan Islam yang baharu pada masa akan datang.

“Dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, kita ada bincang untuk pastikan kawasan-kawasan baharu yang harus diberi perhatian.

“Masyarakat Islam kita sedia maklum ada tanah perkuburan Islam telah diwartakan sebagai tanah perkuburan Islam di Seremban dan Nilai.

“Kita juga melihat ada beberapa kawasan untuk bukan Islam yang juga akan kita wartakan sebagai tanah perkuburan bukan Islam,” jelas Aminuddin semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco.

Aminuddin berkata, sebagai langkah jangka masa panjang dan bagi mengelakkan isu kekurangan tanah perkuburan pada masa akan datang, Majlis Bandaraya Seremban telah menyediakan sebuah tabung khas bagi pembelian tanah untuk tujuan mewujudkan tanah perkuburan.

“Setiap individu yang membeli hartanah di Seremban, mereka akan bayar RM1,000 kepada tabung khas tersebut.

“Tabung khas itu disediakan bagi memastikan Majlis Bandaraya Seremban membeli tanah untuk dijadikan sebagai tanah perkuburan Islam dan bukan Islam pada masa akan datang.

“Kerana itu kita lihat hari ini tanah-tanah perkuburan di Seremban diuruskan oleh Majlis Bandaraya Seremban,” kata Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button