BeritaKolumnis

Tanpa jarak, tanpa Protokol: Menyelami sisi peribadi kepimpinan Aminuddin

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Dalam hiruk-piruk dunia politik moden, jawatan sering kali dilihat sebagai sebuah tembok.

Protokol yang ketat, jadual yang padat, dan kawalan keselamatan yang rapi kadangkala membuatkan rakyat terasa ada jurang yang sangat jauh antara mereka dengan sang pemimpin.

Hal ini membuat seolah-olah suara marhaen perlu melalui ribuan tapisan sebelum sampai ke telinga pemerintah. Namun, di Negeri Sembilan, naratif ini sedikit berbeza.

Bagi Menteri Besarnya, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, kepimpinan bukanlah tentang kerusi empuk di pejabat atau karpet merah di majlis rasmi.

Bagi beliau, nadi sebenar sebuah kerajaan itu terletak pada denyut jantung rakyat di akar umbi.

Kita sering melihat beliau di masjid atau surau. Bukan sekadar datang untuk merasmikan bangunan, tetapi hadir sebagai seorang hamba Allah.

Terutamanya dalam bulan Ramadan, kelibat beliau berdiri di dalam saf yang sama dengan kariah, tanpa pengawal yang menghalang, tanpa kerusi khas di barisan hadapan adalah satu pemandangan biasa.

Di situ, tiada lagi gelaran ‘Menteri Besar’. Yang ada hanyalah seorang pemimpin yang sudi duduk bersila di atas permaidani masjid, mendengar luahan rasa jemaah selepas selesai solat.

Bagi Aminuddin, saat-saat begini adalah waktu ‘mesyuarat’ yang paling jujur.

Pendekatan ‘membumi’ ini tidak terhenti di pagar masjid. Beliau turut kerap dilihat menyantuni warga uzur dan pesakit kronik di ceruk-ceruk kampung.

Melihat seorang pemimpin duduk di tepi katil pesakit kanser atau memegang tangan warga emas yang terlantar, ia memberi satu kesan emosi yang mendalam.

Bagi keluarga yang diuji, kehadiran beliau bukan sekadar bantuan material, tetapi ubat kepada lara hati.

Beliau tidak hadir dengan skrip ucapan yang panjang, sebaliknya hadir dengan telinga yang sedia mendengar dan bahu yang sedia memikul beban bersama.

Kita harus akui, tiada pemimpin yang sempurna. Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan dalam percaturan.

Namun, pemimpin yang terus berusaha dan mencuba untuk memperbaiki keadaan adalah jauh lebih mulia daripada mereka yang membiarkan keadaan tanpa usaha.

Pemimpin yang baik adalah mereka yang tidak malu untuk meminta maaf sekiranya ada janji yang belum tertunaikan atau ada kesilapan dalam tindakan.

Sifat tawaduk untuk mendengar keluhan dan mengakui kelemahan diri inilah yang membina jambatan kepercayaan antara rakyat dan pemerintah.

Pada akhirnya, rakyat tidak mengharapkan seorang ‘superhero’ yang boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata.

Apa yang rakyat mahukan adalah seorang manusia yang punya hati; pemimpin yang tahu bila mahu bicara dan tahu bila mahu diam untuk mendengar.

Di Negeri Sembilan, gaya kepimpinan tanpa jarak dan protokol ini bukan sekadar gimik politik, tetapi sebuah cerminan bahawa kepimpinan yang paling berkesan adalah kepimpinan yang paling dekat dengan jiwa rakyat.

Kerana pemimpin yang hebat bukan mereka yang berdiri di puncak gunung, tetapi mereka yang sudi turun ke lembah untuk mendaki bersama-sama.

Show More

Related Articles

Back to top button