Berita

TEO: Negeri Sembilan tumpuan utama pelabur

SEREMBAN: Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Teo Kok Seong telah menghadiri Sesi Dialog dengan Jawatankuasa Perdagangan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

Kedua-dua pihak telah mengadakan pertukaran pandangan yang jujur dan mendalam mengenai potensi pelaburan di Negeri Sembilan, arah pembangunan industri serta landskap dasar yang menjadi perhatian para penggiat industri.

Teo berkata, sebagai sebuah negeri yang mempunyai kedudukan geografi yang strategik, Negeri Sembilan turut dilengkapi dengan rangkaian pengangkutan yang menyeluruh, harga tanah yang berdaya saing, persekitaran politik yang stabil serta infrastruktur yang terus dipertingkatkan.

“Ini menjadikan negeri ini sebagai tumpuan utama para pelabur dari dalam dan luar negara.

“Saya juga menekankan kepada wakil-wakil Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan dasar yang mesra perniagaan, menjamin keselamatan pelaburan dan menyokong pertumbuhan sektor swasta.

“Kami mengalu-alukan lebih banyak syarikat untuk melabur di Negeri Sembilan sama ada melalui pembinaan kilang, penubuhan ibu pejabat serantau atau pelaksanaan aktiviti ekonomi lain.

“Kerajaan Negeri bersedia menjadi jambatan penghubung antara sektor perniagaan dan agensi kerajaan dalam menyelesaikan cabaran yang dihadapi pelabur.

“Selain menarik pelaburan luar, kami juga memberi tumpuan kepada pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta transformasi digital mereka,” jelas Teo.

Teo tambah, usaha ini bertujuan membina ekosistem ekonomi yang inovatif dan mampan, supaya Negeri Sembilan terus menonjol dalam landskap persaingan masa depan.

“Terima kasih kepada ACCCIM atas sokongan dan galakan yang berterusan terhadap pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.

“Kami akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan komuniti perniagaan bagi memastikan dasar kerajaan lebih relevan dan berkesan, serta bersama-sama melangkah ke arah masa depan yang lebih Makmur,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button