Terima kasih ejen korporat MAINS

Bagi menyemarakkan sambutan Bulan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sepanjang November dan Disember ini, MAINS telah melaksanakan Siri Kunjungan Ejen Korporat ke beberapa syarikat dan institusi yang berperanan sebagai rakan strategik dalam pengurusan zakat di Negeri Sembilan.
Antara objektif utama kunjungan adalah memberi galakan dan panduan kepada ejen-ejen korporat ini dalam turut sama menjalankan aktiviti serta sebar luas segala kempen yang dilancarkan oleh MAINS khususnya zakat.
Kunjungan juga bertujuan merapatkan jalinan ukhuwah dan memperkenalkan dengan lebih rapat barisan baharu urus setia yang menjaga hal ehwal mereka di MAINS.
Selain itu, ia turut menjadi platform untuk menilai semula prestasi dan potensi prospek ejen-ejen korporat sedia ada dalam usaha memperkukuh jaringan kutipan zakat harta di Negeri Sembilan.
Beberapa perkara turut dicapai sebagai hasil kunjungan antaranya penganjuran bengkel dan kursus pengukuhan ilmu zakat harta bagi mempertingkat kefahaman ejen tentang tatacara pengiraan dan pengurusan zakat yang terkini.
Dalam masa yang sama, kunjungan ini turut memberi ruang kepada pihak MAINS untuk melaksanakan proses pembaharuan lantikan serta penilaian semula perjanjian ejen korporat bagi memastikan tadbir urus kerjasama kekal telus dan berkesan demi memperluas manfaat zakat kepada golongan asnaf di Negeri Sembilan.



