SEREMBAN: Seorang pesara kerajaan Fadilah Mansor, 60, dari Jempol berkongsi perasaan gembiranya apabila dapat berjumpa dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun di Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2023 di Palm Mall Hotel di sini.
“Ini pertama kali dapat jumpa MB. Excited sangat nak jumpa MB.
“Bila dah naik ke atas pentas tadi, tiba-tiba saya tergamam. Tak tahu nak cakap apa.
“Sedangkan sebelum itu dah terfikir macam-macam nak cakap dengan MB
“Apa pun saya bersyukur kerana diraikan pada hari ini,” kata Fadilah yang sebelum bersara bekerja sebagai Pembantu Awam di Pejabat JKR Jempol.
Abdul Halim Abdullah, 60, dari Bandar Seremban Selatan dan bekerja sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban sebelum bersara turut menyatakan rasa gembira apabila diraikan dalam majlis tersebut.
“Sebagai kakitangan kerajaan yang telah bersara, saya gembira dapat jumpa kawan-kawan lama dan bekas ketua-ketua jabatan.
“Saya telah bekerja sebagai penjawat awam selama 39 tahun dan rasa terharu apabila Kerajaan Negeri iktiraf sumbangan kakitangan awam apabila diraikan pada majlis ini,” ujar Abdul Halim.