Berita

Tiada toleransi terhadap buli di tempat kerja

PUTRAJAYA: Buli di tempat kerja bukan sekadar isu terpencil.

Ia adalah gangguan sistemik yang boleh melemahkan motivasi, meruntuhkan integriti organisasi dan akhirnya menjejaskan mutu penjagaan pesakit.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr.Dzulkefly Ahmad berkata, dalam perkhidmatan kesihatan, implikasinya amat serius apabila anggota tertekan, rakyat juga terkesan.

“Sebagai langkah tuntas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil pendirian jelas dan tegas: zero tolerance terhadap buli.

“Garis panduan ini akan membantu ketua jabatan dan warga kerja untuk mengenal pasti, melaporkan, menyiasat serta menangani kes buli secara telus dan adil.

“Dengan ini, KKM menjadi kementerian pertama dalam perkhidmatan awam yang memperkenalkan garis panduan khusus seumpama ini bagi pengurusan kes-kes buli,” jelas beliau.

Dzulkefly berkata demikian di Majlis Pelancaran Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja bagi anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Garis panduan ini suatu dokumen penting untuk memastikan kesejahteraan warga kerja sentiasa terpelihara.

“Lebih daripada itu, garis panduan ini bukan hanya untuk KKM semata-mata, malah boleh dijadikan model rujukan kepada kementerian dan agensi lain.

“KKM sedia membantu dan bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memperkukuh tatacara pengurusan kes buli di seluruh perkhidmatan awam.

“Budaya buli adalah bertentangan sama sekali dengan nilai MADANI yang kita ingin bina iaitu berteraskan maruah insan, ihsan, empati dan integriti.

“Hari ini mesej kita jelas.

“Tiada toleransi terhadap buli di KKM. Noktah,” kata Dzulkefly.

Show More

Related Articles

Back to top button