Tiga keluarga mangsa kebakaran terima kunci rumah daripada Arul Kumar
LABU: Tiga daripada tujuh keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Ladang Kirby pada Disember tahun lalu telah menerima kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Type A di Taman Bakti YNS, di sini.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata, ketiga-tiga keluarga tersebut berjaya mendapatkan pinjaman bank serta menyediakan bayaran tunai sebelum proses penyerahan kunci dapat dilaksanakan.
Dalam kejadian terdahulu, tujuh keluarga kehilangan tempat tinggal apabila rumah sewa yang didiami mereka, dibina di atas tanah milik pihak lain, musnah dalam kebakaran.
Susulan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah berjanji untuk menawarkan kediaman RMM Type A di Taman Bakti YNS kepada semua mangsa terlibat, dengan setiap unit rumah teres berharga RM80,000.
Menurut Arul Kumar, baki empat lagi keluarga kini sedang dalam pelbagai peringkat proses bagi memiliki rumah masing-masing, termasuk seorang yang masih mendapatkan pinjaman bank, manakala tiga lagi akan dibantu melalui pinjaman Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.
“Rumah teres yang ditawarkan mempunyai keluasan tanah 20 x 60 kaki dengan keluasan binaan kira-kira 880 kaki persegi, serta anggaran bayaran ansuran bulanan sekitar RM500 melalui pinjaman bank.
“Kebanyakan mangsa sebelum ini tidak memiliki rumah sendiri, dan inisiatif Kerajaan Negeri ini memberi peluang kepada mereka untuk memiliki kediaman tetap.
“Paling penting, mereka kini mempunyai tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat untuk didiami bersama keluarga,” katanya.
Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan kunci rumah kepada tiga pembeli lain yang layak bagi skim RMM Type A di kawasan berkenaan.
Turut hadir, Penyelaras DUN Labu, Dato’ Ahmad Faez Abdul Razak.



