Berita

Tok Mat Semarakkan Karnival Mawlid Masjid Sheikh Hj Ahmad

SENDAYAN: Ahli Parlimen Rembau, Dato’ Seri Utama Mohammad Hasan hadir bagi menyempurnakan Karnival Mawlid Masjid Sheikh Hj Ahmad, Bandar Sri Sendayan.

Karnival yang diadakan bersempena sambutan Maulidur Rasul itu berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti sejak awal pagi termasuk perarakan Maulidur Rasul, pertandingan memanah, pertandingan masakan sunnah serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

Mohammad dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Ustaz Dr. Anwar Muttaqin, Pengerusi Masjid Sheikh Hj Ahmad bersama ahli jawatankuasa dan seluruh warga kariah atas usaha mereka menganjurkan program yang bukan sahaja menghidupkan syiar Islam malah memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti.

Selesai majlis di masjid, Mohammad turut meluangkan masa menziarahi beberapa anak kariah yang uzur di kawasan taman berhampiran.

Antara yang diziarahi termasuk individu yang sedang berdepan ujian kesihatan seperti pesakit angin ahmar dan anggota polis yang koma akibat kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke pejabat.

Dalam kunjungan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berupa kerusi roda, katil kesihatan, bakul makanan serta lampin pakai buang kepada mereka yang memerlukan sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat setempat.

Menurut Mohammad, sumbangan kecil yang disampaikan diharap dapat meringankan beban golongan yang diuji kesihatan serta menjadi pengikat ukhuwah antara pemimpin dan rakyat.

 

Show More

Related Articles

Back to top button