Berita

Tuanku Muhriz berkenan lancar Lagu Identiti Negeri Sembilan

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli menyempurnakan pelancaran ‘Lagu Identiti Negeri Sembilan’ di Klana Resort, Seremban.

Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut adalah Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan anakanda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz dan disambut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Lagu Identiti Negeri Sembilan adalah projek Kerajaan Negeri dalam memastikan Negeri Sembilan mempunyai satu identiti khas dalam bentuk lagu yang mengangkat keunikan kebudayaannya.

Secara umumnya projek ini dicetuskan oleh Tuanku Muhriz pada penghujung tahun 2019.

Sehubungan itu, Tunku Zain Al-‘Abidin telah dilantik sebagai penasihat kehormat projek tersebut.

Sebanyak enam lagu telah dihasilkan daripada projek ini:

i. Lambaian Negeri (Dato’ Aishah)
ii. Orang Kito (Ito)
iii. Pepatah Pepitih (Ewal)
iv. Dirgahayu Yang di-Pertuan Besar (Fitri)
v. Nogori (Waris)
vi. Moh Dogheh (Dato’ Aishah)

Untuk makluman, lagu Moh Dogheh juga merupakan lagu rasmi bagi sektor dan industri pelancongan Negeri Sembilan.

Melalui penghasilan lagu-lagu ini, Kerajaan Negeri berharap agar rakyat Negeri Sembilan khususnya serta masyarakat Malaysia amnya dapat mengenali budaya, identiti dan kesenian Negeri Sembilan melalui susunan muzik dan keharmonian lagu-lagu tersebut.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button