100 bangkai babi dibuang di Bukit Pelanduk

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan pihak berkuasa melakukan pemantauan di kawasan Bukit Pelanduk, Port Dickson berikutan penemuan 100 ekor bangkai babi di kawasan berkenaan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, beliau menerima laporan penemuan bangkai babi itu di kawasan kelapa sawit persendirian daripada orang awam.
“Saya mengingatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dan pihak berwajib termasuk polis memperketat penguatkuasaan di kawasan Bukit Pelanduk.
“Tiada kawasan peliharaan babi di Bukit Pelanduk, tetapi ada bangkai babi yang dihantar ke situ.
“Saya minta pihak berwajib beri perhatian kerana ia beri kesan kurang baik kepada pemilik tanah,” kata Aminuddin.
Dalam pada itu, Aminuddin tidak menolak kemungkinan bangkai tersebut dibawa ke negeri ini dari negeri lain bagi tujuan pelupusan.
“Justeru itu, saya meminta pihak berwajib memberi perhatian serius berhubung perkara ini, lebih-lebih ia boleh mengundang isu pencemaran dan kesihatan.
“Saya tidak mahu kawasan itu dijadikan kawasan pembuangan seperti ini kerana ia sensitif kepada penduduk sekitarnya.
“Ini kali ketiga kes ini berlaku di kawasan Bukit Pelanduk dan ia satu perkara yang kurang hormat.
“Saya berharap perkara berkenaan tidak berulang lagi dan saya telah meminta siasatan lanjut dilakukan,” ujar Aminuddin.